Thursday, February 10, 2011

Terdapat sifat binatang dalam diri manusia. Adakah tiada sifat manusia dalam diri binatang.


Burung helang.
Kebiasaan dikatakan atau difahamkan bahawa tiada sifat manusia dalam diri binatang tetapi sebaliknya ada sifat binatang dalam diri manusia. Adakah tepat kenyataan tersebut ?.
Sama-samalah kita fikirkan dan perhatikan melalui sifat dan perangai binatang memerang dan burung helang yang memang kita kenali dan banyak lagi binatang dan unggas lain y
ang boleh kita kongsi bersama cara hidup mereka.

Apakah keistimewaan burung ini ?
Burung helang adala
h sejenis burung yang mempamerkan penampilan bengis dan cergas, ditakuti oleh unggas yang lain, termasuk ayam dan itik. Itu adalah penilaian masyarakat lain terhadap diri burung tersebut seperti manusia melihat dan menilai harimau dan singa itu garang dan jahat. Adakah pakatan kumpulan harimau menumbangkan seorang kerbau untuk dijadikan hidangan diri dan anak-anak mereka dianggap sebagai jahat. Bagaimana penilaian terhadap manusia yang menyembelih kerbau untuk dijadikan kenduri atau lain-lain. Adakah penilaian kita terhadap harimau tadi suatu penilaian yang adil. Tentulah tidak adil kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sebenarnya harimau dan manusia tidak melakukan apa-apa kesalahan di atas perbuatan mereka itu

Burung helang ini sangat setia dan bertanggungjawab terhadap pasangan dan bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. sebaik sahaja burung helang betina bertelur, helang betina akan berada di sarangnya sepanjang masa sehinggalah telur tersebut menetas dan anak-anak membesar serta mampu terbang bersama mereka mencari rezeki. Makanan helang betina akan disara sepenuhnya oleh helang jantan pasangannya. Bukan sahaja makan dan minum dijagainya malah keselamatan juga diambil berat. Helang jantan terbang mencari makanan dalam jarak yang ia boleh mendengar suara 
helang betina sekiranya helang betina menghadapi masalah suara panggilan helang betina akan dapat didengarinya dan segera kembali memberi pertolongan.
Apabila telur telah menetas bermakna helang jantan terpaksa mencari rezeki berlipat ganda kerana rezeki itu terpaksa dikongsi bersama anak-anak selain daripada mereka berdua. Tugas ini berterusan sehinggalah anak-anak mereka membesar dan pandai mencari rezeki mereka sendiri atau berdikari.

Nah. Cuba lihat dan fikirkan. Bukankah ini satu contoh teladan kepada manusia atau sindiran kepada manusia yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan anak isteri hidup melarat tanpa sara hidup dan pendidikan yang sewajarnya.
Memerang.
Apakah keistimewaan binatang ini pula ?
Memerang ialah sejenis binatang yang boleh hidup di daratan dan di dalam air. Sumber makanan mereka ialah hidupan dalam air seperti ikan, ketam, udang, belut, ular dan sebagainya. Binatang ini tidak disukai pesawah kerana mereka sering kali merosakkan padi tanaman pesawah dan mengambil secara rakus ikan tangkapan pesawah yang dalam perangkap atau di kolam peliharaan. Memerang mempunyai kemahiran yang tidak dapat ditandingi dalam bidang tangkapan hidupan air dan mampu membuka atau merosakkan perangkap ikan petani atau sesiapa sahaja.

Walau pun memerang sejenis binatang yang tidak digemari manusia tetapi mereka mempunyai kebolehan dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap penjagaan dan pendidikan anak-anak. Sebagai contoh; Memerang tidak akan memberi sewenang-wenangnya makanan kepada anak-anak mereka, sebaliknya mereka melatih anak-anak turut menangkap ikan dengan cara melepaskan ikan tangkapan mereka di hadapan anak-anak dan membiarkan anak-anak menangkapnya sendiri. Pada awalnya sudah tentulah anak-anak tadi tidak berjaya menangkapnya kerana ikan masih cergas dan bergerak laju. Ikan yang terlepas lari itu dikejarnya semula oleh ibu atau bapa memerang dan ditangkapnya semula. Proses ini dibuatnya berkali-kali sehinggalah ikan itu letih dan tidak bertenaga lagi. keadaan ini membolehkan anak-anak memerang tadi berjaya menangkapnya.

Dengan cara tersebut anak-anak memerang menyedari bahawa hidangan mereka tidak akan datang menggolek tetapi mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya melalui ilmu dan kemahiran, keturunan tidak datang seratus peratus dari perut ibu sahaja, sebaliknya keturunan dimantapkan di luar perut ibu dengan tunjuk ajar dan didikan yang bersungguh-sungguh. Latihan tersebut diteruskan sehinggalah anak-anak mereka pandai dan mahir serta mampu hidup berdikari.

Inilah falsafah atau prinsip hidup yang betul seperti kata pepatah Cina " Janganlah beri mereka ikan tetapi ajarlah mereka memancing".

Mungkin terdapat di antara manusia beranggapan bahawa kemahiran memerang menangkap ikan itu memang seratus peratus atas sebab keturunan kerana keturunan mereka memang begitu ataupun mempercayai bahawa kebolehan itu pemberian Allah bersama dengan kelahiran mereka tanpa berlaku ikhtiar dan penambahbaikan oleh mereka sendiri.
Cuba renung dan fikirkan.........

No comments:

Post a Comment

LOGO MALAYSIA MADANI